Skip to main content

Sukan SEA

Tiada jaminan tempat buat Shalin

shalin-zulkifli.jpg
Kedudukan ratu boling negara, Shalin Zulkifli, dalam skuad kebangsaan ke Sukan SEA 2019 tidak terjamin berikutan hanya empat pemain lelaki dan wanita terbaik akan dipilih untuk menggalas cabaran negara.

Susulan pendirian Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) untuk hanya menghantar pemain berdasarkan ranking mereka dalam pertandingan bulanan, kedudukan Shalin dalam skuad negara ke temasya itu tampak samar berikutan kecederaan belakang yang dialaminya.

Selepas tidak tersenarai dalam skuad negara ke Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat dari 22 hingga 30 Ogos ini, kehadiran pemain veteran berusia 41 tahun itu dalam Kejohanan Kebangsaan hujung minggu ini, masih menjadi persoalan.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok, berkata pemain itu tidak pasti sama ada dapat bersaing dalam Kejohanan Kebangsaan berikutan kecederaan ringan di bahagian belakangnya.

“Saya harap Shalin dapat kembali semula ke Kejohanan Kebangsaan hujung minggu ini. Oleh kerana kesemua lapan pemain negara masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita berada di tahap terbaik ketika ini, saya tidak dapat jamin kedudukan Shalin. Dia perlu bersaing untuk memburu tempat.

“Kami akan melihat prestasi pemain negara dalam Kejohanan Kebangsaan dan Kejohanan Wanita Dunia sebelum mendaftarkan mereka untuk ke Sukan SEA," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), hari ini.

Beliau berkata pihaknya menghadapi cabaran yang hebat untuk menamakan skuad negara ke Filipina kerana mempunyai barisan pemain yang handal untuk mencapai sasaran empat pingat emas dalam temasya dwitahunan itu.

“Oleh kerana hanya empat pemain masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita yang boleh dihantar ke Sukan SEA 2019, maka risiko adalah terlalu tinggi jika pemain cedera atau tidak dapat beraksi dengan baik, untuk disenaraikan,” katanya.

Sebelum ini, bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah, menzahirkan keyakinan terhadap Shalin untuk memecahkan rekodnya yang berusia 30 tahun sebagai pemenang pingat emas terbanyak, iaitu 22 emas sepanjang penyertaan dalam Sukan SEA di antara 1983 hingga 1989.

Shalin setakat ini memiliki 20 pingat emas dalam Sukan SEA.

"Pungutan pingat Shalin tak jauh daripada saya, dengan perbezaan dua emas sahaja lagi.

"Jika dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur lalu beliau memenangi beberapa emas (tiga emas), saya yakin dia dapat atasi rekod saya kali ini jika dia mengekalkan prestasi,” katanya yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video