Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Yiwei raih gangsa

yi-wei.jpg
Atlet terjun negara, Chew Yiwei, meraih gangsa dalam acara 3 meter papan anjal invidvidu Sukan Asia 2018, sebentar tadi.

Layak ke pusingan akhir di tempat kelapan (380.50 mata), Yiwei mempamerkan persembahan berkualiti di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.

Selepas tamat enam terjunan, penerjun kelahiran Selangor ini meraih 456.20, mengatasi Ken Terauchi dari Jepun yang berada di tempat keempat.

Emas milik penerjun China, Cao Yuan dengan 560.80 mata manakala perak dimenangi Xie Siyi (540.05 mata), juga dari China. 

Seorang orang lagi wakil negara, Ooi Tze Liang, menamatkan cabaran di tempat ketujuh (413.05 mata).

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Nur Dhabitah Sabri, hanya dibezakan dengan 2.3 mata untuk meraih gangsa dalam acara 1 meter papan anjal wanita.

Selepas meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Ng Yan Yee, Dhabitah sekali lagi turun untuk memburu pingat.

Berada di tangga keempat ketika sesi kelayakan, Dhabitah mempamerkan dua terjunan cemerlang pada awal saingan tetapi dia gagal mengekalkan rentak dan wakil Korea Selatan, Kim Su-ji, berjaya memintasnya.

Selepas tamat lima terjunan, Dhabitah meraih 263.05 mata untuk menamatkan saingan di tempat keempat.

Dua wakil China, Wang Han serta Chen Yiwen, menamatkan saingan di tempat pertama dan kedua sementara Su-ji mengatasi Dhabitah dalam perebutan pingat gangsa.

"Saya dapat berasakan telah melakukan persembahan yang terbaik tetapi markah saya masih kurang memuaskan," kata Dhabitah.

Seorang lagi wakil negara, Leong Mun Yee, mengakhiri saingan di tempat kelapan (224.60 mata).

"Saya dapat berasakan terjunan dalam saingan akhir lebih baik berbanding sesi kelayakan. 1m papan anjal bukan acara kegemaran saya dan telah lama tidak berlatih untuk acara ini," kata Mun Yee.

Penerjun-penerjun negara akan kembali beraksi dalam saingan 10m platfom individu lelaki dan 3m papan anjal individu esok.

Advertisement

Must Watch Video