Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Saya sakit kepala teruk -- Jellson

jallbin.jpg
Masalah kesihatan menjadi punca utama atlet terjun negara, Jellson Jabilin, gagal mempamerkan persembahan lebih baik dalam aksi final acara 10 meter platform lelaki saingan Sukan Asia Jakarta-Palembang di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, kelmarin. 

Segalanya bagaikan tidak menjadi buat Jellson dalam aksi final itu apabila dia memperoleh 385.05 mata untuk meraih kedudukan kelapan keseluruhan.

Jumlah itu berkurangan berbanding pusingan kelayakan yang menyaksikannya mencatat 390.80 mata.

Nyata dia tidak berada di tahap sebenar meskipun mengutip mata yang tinggi dalam terjunan terakhir, namun aksi itu masih belum dapat membantunya untuk meraih kedudukan lebih baik.

"Saya tidak gementar tetapi sebelum aksi bermula, saya berasa pening kerana melalui latihan yang terlalu banyak dan tidak cukup rehat. 

"Dalam dua terjunan awal, saya memang pening teruk sehingga ia tidak menghasilkan terjunan yang baik," katanya.

Tumpuan Jellson selepas ini adalah mewakili negeri kelahirannya, Sabah, dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak pertengahan bulan ini di samping Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, bulan depan.

Beraksi dalam pertandingan sebesar Sukan Asia memberikan pengalaman yang tersendiri buat atlet berusia 17 tahun itu dengan berkata: "Saya harus meningkatkan terjunan kepada tahap yang lebih tinggi seperti barisan senior dari China dan Korea Selatan.

"Wakil dari negara-negara itu memang jauh lebih bagus dan saya belum berada sebaris dengan mereka.

"Ternyata saya memerlukan lebih banyak latihan," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video