SUKAN ASIA 2018
Terjun: Pandelela tarik diri
"Kami pujuk Pandelela supaya tarik diri," kata pengurus skuad terjun negara, Mae Chan, yang terpaksa melewati situasi dramatik memujuk Pandelela Rinong supaya melupakan aksi final ekoran keadaannya yang hanya akan memburukkan lagi kecederaan dan reputasinya.
Pandelela berdegil mahu meneruskan penampilannya dalam final 10 meter platform wanita hingga Mae dan jurulatih negara, Zhang Yukun, terpaksa mengambil langkah drastik menghalang niat yang disuarakan atlet itu.
Ada pertengkaran kecil berlaku selepas Pandelela terus berdegil mahu meneruskan aksinya dalam final dan mula mempersoalkan mengapa niatnya itu dihalang.
Iklan
"Pada mulanya, kami tidak pasti sama ada dia akan beraksi dalam Sukan Asia. Tetapi ia merupakan keinginan Pandelela yang telah berada di Jakarta dan mahu memberikan yang terbaik untuk negara," kata Mae.
Kecewa dengan apa yang berlaku, Pandelela, bagaimanapun, terpaksa akur dengan keputusan Yukun walaupun dia yakin niat menyumbang pingat ketiga bagi acara terjun mampu terlaksana dalam 10m platform wanita individu.
Namun, Mae dan Yukun ada penilaian berbeza dan demi jangka panjang, Pandelela perlu menerima hakikat Sukan Asia 2018 bukan untuknya.
"Pandelela sangat sedih dengan keadaan ini. Dia mahu memberikan yang terbaik tetapi kami enggan mengambil risiko terhadap kecederaan yang dialaminya."
Dalam aksi kelayakan, Pandelela berada di kedudukan keenam keseluruhan untuk layak ke final.
Namun, prestasi yang ditampilkan jelas membuktikan Pandelela gagal beraksi di tahap sebenar.
Sementara itu, dalam saingan kelayakan 1 meter papan anjal lelaki, dua penerjun negara, Syafiq Puteh dan Amsyar Azman, berjaya meloloskan diri ke pusingan akhir malam ini selepas mengisi tempat kelima dan keenam.
Aksi kurang kemas dalam terjunan kedua, ketiga dan keempat menyaksikan Syafiq akur mengumpul 361.25 mata untuk menamatkan saingan di tempat kelima.
Amsyar, yang hanya menemui rentak dalam dua terjunan terakhir, terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di belakang Syafiq hasil pungutan 343.70 mata.
Terbaik dalam sesi kelayakan ialah dua penerjun china, Liu Chengming dan Peng Jianfeng.
Must-Watch Video