Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Pandelela sah tarik diri daripada semua acara

pandelela.jpg
Malaysia terus menerima tamparan dengan perkembangan terbaru prospek pingat emas dalam sukan terjun, Pandelela Rinong, sah menarik diri daripada Sukan Asia Jakarta-Palembang selepas mengalami kecederaan saraf kaki yang serius.

Perkhabaran itu diumumkan oleh chef-de-mission (CDM) Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, dalam sidang media di Kompleks Sukan Jabaring, Palembang, hari ini.

Malaysia sebelum ini sudah pun kehilangan jaguh dunia, Cheong Jun Hoong, akibat kecederaan lutut. Kini dengan ketiadaan Pandelela, kontinjen Malaysia dilihat sukar untuk meraih emas bagi acara 10m platform individu dan seirama.

Pandelela pada mulanya menarik diri daripada acara 10m platform seirama hari ini tetapi laporan perubatan yang dikeluarkan Institut Sukan Negara (ISN) menunjukkan kecederaan Pandelela tidak berada dalam keadaan yang mengizinkannya untuk bertanding.

"Kami telah menerima laporan daripada doktor ISN yang merawatnya.

"Dia tidak akan bertanding dan akan dikeluarkan dalam semua acara membabitkannya," kata Abdul Azim.

Sementara itu, Abdul Azim masih menunggu laporan penuh daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengenai insiden membabitkan pesilat negara, Al-Jufferi Jamari, yang menarik diri daripada kategori Putra E selepas tidak berpuas hati dengan kualiti pengadilan wasit.

Baginya, PESAKA berhak untuk membuat protes dan beliau secara peribadi akan menyokong tindakan itu, namun percaya tidak banyak impak akan terjadi kerana keputusan sudah pun dibuat dan pingat juga telah dikalungkan kepada pemenang.

"Dalam protes pun, dia tidak dapat layanan seperti yang dikehendaki.

"Mengenai tindakannya yang menarik diri, sama ada bersetuju atau tidak, saya tidak dapat ulas kerana belum mendapat laporan penuh," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video