Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Mun Yee mahu beraksi hingga 2020

munn.jpg
Atlet terjun negara, Leong Mun Yee, bertekad mahu terus kekal kompetitif untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi sebelum mempertimbangkan keputusan bersara selepas menamatkan kempen Sukan Asia dengan satu pingat gangsa.

Mun Yee bersama Nur Dhabitah Sabri menjadi gandingan "bidan terjun" bagi acara 10 meter platform seirama wanita susulan penarikan diri Pandelela Rinong ekoran kecederaan.

Latihan singkat selama dua hari tidak menggugat rentak mereka apabila berjaya menyumbangkan gangsa.

Cabaran Mun Yee berakhir selepas meraih tempat kelapan saingan 1m papan anjal individu wanita untuk saingan Sukan Asia yang terakhir buat dirinya.

Begitupun, dia tetap ingin memberikan persaingan dalam merebut tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya memberikan tempoh maksimum selama dua tahun kepada diri sendiri. Kalau boleh, mahu sampai ke Tokyo 2020.

"Selepas mendapat tahu saya bersaing dalam 10m seirama, saya meluangkan masa lebih banyak untuk acara itu. Saya hanya mencuba," katanya.

Sementara itu, Mun Yee menganggap penyertaannya dalam Sukan Asia kali ini memuaskan kerana mengetahui cabaran yang dihadapi ternyata lebih hebat berbanding edisi sebelumnya.

Pencapaiannya itu memberikan Mun Yee pingat peribadi keenam sejak dia memenangi gangsa acara 3m papan anjal individu dan seirama bersama Elizabeth Jimie pada edisi 2006 di Doha.

"Sebenarnya, saya berpuas hati. Saya menyasarkan dalam 10m seirama dan kutipan pingat kali ini melegakan saya."

Advertisement

Must Watch Video