SUKAN LAIN
Terjun Kejohanan Dunia: Pandelela raih gangsa
Penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong, sekali lagi tidak mengecewakan apabila meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia dalam acara 10 meter platform individu di Budapest, Hungary.
Bagaimanapun, pada terjunan pertama hanya 63 mata diraih anak kelahiran Sarawak itu untuk dia ketinggalan di kedudukan keenam daripada 12 penerjun.
Namun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio tu memperbaiki kutipan mata di terjunan kedua dengan darjah kesukaran 2.9 untuk mendaki ke tempat keempat.
Iklan
Persembahan yang meyakinkan dipamerkan pada terjunan ketiga untuk mengejar pesaing lain dan meloloskan diri di kelompok tiga terbaik.
Mata tertinggi diraih pandelela di terjunan keempat dengan 75.20 mata untuk mengukuhkan kedudukan podium.
Juara dunia 2019 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 16 tahun Chen Yuxi, dari China merangkul emas selepas mengumpul 417.25 mata sementara rakan senegara berusia 15 tahun yang juga pemenang emas Olimpik Tokyo Quan Hongchan membawa pulang perak dengan kutipan 416.95 mata.
Pandelela berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 338.85 mata sekaligus menambah koleksi pingat keenam di pentas Kejohanan Dunia selepas kali terakhir pada 2019.
Dia akan turun beraksi sekali lagi dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri, Khamis ini, dalam usaha mempertahankan pingat perak yang dimenangi bersama pasangan terdahulu, Datuk Leong Mun Yee pada 2019.
Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara 3m papan anjal lelaki berakhir di pusingan kelayakan selepas Muhammad Syafiq Puteh dan Chew Yiwei masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-35 dan ke-51 daripada keseluruhan 55 penerjun.
19th FINA World Championships BudapestWomen’s 10m Platform IndividualAwesome!!! @Pandelela_R ? #DemiMalaysia #KontinjenMALAYSIA pic.twitter.com/f8YFlzPo0k— MSN MALAYSIA (@MSNMALAYSIA) June 27, 2022
Must-Watch Video