SUKAN ASIA 2018
Terjun: Jellson akur bukan penerjun pilihan
Penerjun negara, Jellson Jabillin, meletakkan dirinya sebagai bukan pilihan dalam saingan final selepas dikejutkan dengan aksi memukau pasangan China, sekali gus menyaksikan dia menghuni ranking ketujuh peringkat kelayakan 10 meter individu platform Sukan Asia di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, hari ini.
Jellson ternyata masih terlalu jauh untuk mencabar jaguh China dan Korea Selatan.
Penerjun berusia 17 tahun itu membuat penampilan sulung Sukan Asia dan cabarannya lebih sukar apabila rakan sepelatih, Hanis Nazirul Jaya Surya, menarik diri ekoran kecederaan.
Iklan
Jellson mempamerkan aksi konsisten, namun tahap kesukaran terjunan yang rendah menyaksikan dia gagal mencabar kelompok utama.
Penerjun kelahiran Sabah itu mencatat 390.85 mata untuk menghuni ranking ketujuh.
"Perbezaan yang agak jauh berbanding pencabar utama acara ini. Saya masih lagi berusaha untuk pulih daripada kecederaan belakang saya. Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan ini," kata Jellson.
Bintang China, Qiu Bo, mencipta kejutan apabila mencatat 101.50 mata dalam terjunan kelima, sekali gus menghuni ranking pertama dengan 560.15 mata sementara rakan senegaranya, Yan Jian, kedua dan penerjun Korea Selatan, Woo Haram, ketiga.
"Saya tidak menjangkakan pingat tetapi mahu memberikan terjunan yang terbaik dalam final nanti," ujarnya.
Must-Watch Video