Skip to main content

Sukan Asia

Terjun: Harap pulih imej tercalar -- Yiwei

chew-yiwei.jpg
Penerjun negara, Chew Yiwei, berharap pencapaiannya meraih gangsa acara 3 meter papan anjal individu lelaki Sukan Asia Jakarta-Palembang malam tadi dapat melonjakkan kembali imej skuad terjun negara yang dilanda isu membabitkan disiplin sebelum ini.

"Aksi saya dalam kelayakan biasa-biasa sahaja, begitu juga dalam aksi final. Cuma, satu terjunan saya tidak menjadi semasa dalam pusingan kelayakan. 

"Ia terjunan yang sangat buruk tetapi saya berjaya menebusnya dalam final. 

"Terjunan ketiga saya menjadi titik tolak untuk memberikan saingan kepada peserta China. 

"Saya tidak terlalu memikirkan pesaing yang lain, saya hanya cuba memberikan aksi terbaik. 

"Ini kerana semua penerjun yang saya hadapi merupakan lapan penerjun terbaik dunia. 

"Lebih baik tidak memikirkan sangat dan hanya buat yang terbaik," katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, Jakarta.

China mendominasi emas dan perak menerusi Xie Siyi yang merupakan juara dunia tahun lalu dan pemenang emas Sukan Olimpik, Cao Yuan.

Kualiti mereka jelas melangkaui pencabar-pencabar lain. 

"Mereka adalah juara Sukan Olimpik. 

"Bagi penerjun Korea Selatan pula, mereka berada di ranking enam dan lapan dunia. Mereka lawan yang hebat. 

"Secara jujurnya, mereka adalah penerjun handalan di Asia dan saya tidak fikir boleh menang. 

"Saya membuat tahap kesukaran yang rendah dalam aksi saya sambil fokus untuk memberikan yang terbaik," tambahnya. 

Sehubungan itu, Yi Wei menaruh harapan agar pencapaiannya dalam Sukan Asia dapat memulihkan imej skuad terjun yang terpalit dengan isu disiplin. 

"Terima kasih kepada Program Podium dan barisan jurulatih yang menggilap saya sebagai atlet dan manusia. 

"Saya banyak belajar, apatah lagi prestasi terjun negara agak terumbang-ambing tahun ini, lebih-lebih lagi penerjun lelaki. 

"Saya harap dapat membuktikan bahawa pasukan terjun negara juga hebat," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video