Gandingan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee, menyumbangkan pingat perak buat Malayia dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, malam ini.
Pasangan yang memenangi pingat emas dalam acara sama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu berjaya mengumpul 298.23 mata selepas menampilkan aksi cemerlang dalam enam terjunan.
Pingat emas acara itu dimenangi pasangan jaguh China, Chang Yani-Shi Tingmao selepas mengumpul 335.70 dan gangsa menjadi milik gandingan Kim Kwang Hui-Kim Mi Hwa dari Korea Utara dengan 282.78 mata.
"Selepas lama tidak berlatih dan menyertai kejohanan, beraksi dalam Sukan Asia merupakan sesuatu yang agak tertekan dan saya gembira di atas kemenangan ini," kata Yan Yee.
"Saya sangat gembira dengan meraih pingat perak selepas meraih gangsa bersama Leong Mun Yee semalam (acara 10m platfom serirama)," kata Dhabitah pula.
"Bergandingan semula bersama Yan Yee menggembirakan saya kerana kami telah lama tidak beraksi bersama dan kami mahu menunjukkan kebolehan kami."
Sementara itu, gandingan muda negara, Jellson Jabillin dan Hanis Nazirul Jaya Surya, menamatkan saingan 10m platfom serirama di tempat kelima apabila meraih 356.52 mata.
"Pada terjunan kedua, saya telah melakukan kesilapan dan ia telah menggugat persembahan, sekali gus kami gagal meraih mata yang baik," kata Hanis.
"Bukan rezeki kami menampilkan persembahan terbaik, kami akan kembali berusaha dalam latihan bagi memperbaiki persembahan untuk kejohanan akan datang," kata Jellson.
-- BERNAMA
Sukan Asia