SUKAN ASIA 2018
Terjun: Amsyar mahu pulang dengan pingat
"Saya mengharapkan hadiah hari jadi ke-26 terbaik," tekad penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, yang akan beraksi merebut podium bagi acara 1 meter papan anjal lelaki bersama dengan seorang lagi wakil negara, Syafiq Putih, malam ini.
Segalanya bermula dengan baik buat Amsyar menerusi aksi kelayakan yang menyaksikan 12 penerjun mara ke final.
Bagi Amsyar, kondisi dan semangatnya cukup baik, cuma mengharapkan tuah hari jadinya yang ke-26 mampu menjadi hadiah istimewa untuknya dalam Sukan Asia kali ini.
Iklan
Jika tahun lalu dia dikalungkan pingat emas menerusi acara kegemarannya itu dalam Sukan SEA, tuah yang sama diharapkan akan berlaku di pentas Sukan Asia kali ini.
"Tahun lalu, saya meraih pingat emas dalam Sukan SEA. Saya akan melakukan terbaik pada hari jadi saya," kata Amsyar.
Sementara itu, Syafiq Putih yang berada di kedudukan kelima kelayakan tidak mahu berasa selesa.
Dia menyedari keseluruhan penerjun belum beraksi pada tahap terbaik mereka dalam saingan kelayakan.
"Saya telah bertanding dengan penerjun-penerjun yang bersaing hari ini. Saya akan cuba melakukan terjunan terbaik dan memberikan tumpuan kepada rutin yang telah ditetapkan," kata Syafiq.
Must-Watch Video