Skip to main content

Sukan Lain

Terbuka Malaysia: Trio negara sedia bersaing

malaysiaopen.jpg

Tiga pemain negara kini sudah bersiap sedia untuk memulakan saingan di Kejohanan Golf Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 8 Mac di Kota Permai Golf & Country Club di Kota Kemuning, di sini.

Pemain golf berpengalaman negara, Danny Chia yang masih dibelenggu kecederaan belakang berkata beliau gembira kerana berpeluang beraksi dalam kejohanan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$1 juta (RM4.14 juta), selepas kali terakhir menyertainya pada 2008 di venue sama.

Advertisement

“Saya terkejut apabila mengetahui kejohanan itu kembali diadakan. Ia satu perkembangan yang baik untuk sukan golf Malaysia dan juga pemain profesional tempatan. Saya juga mempunyai kenangan manis bermain di Terbuka Malaysia, terutama di sini.

“Bagus ia kembali ke sini. Padang golf di sini juga hebat, salah satu yang terbaik di sini. Lapangan golf di sini juga sangat baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Berkongsi pendapat sama, seorang lagi pemain profesional dari Sabah, Ben Leong menyifatkan dengan penyertaan 47 pemain golf tempatan, setiap pukulan adalah penting untuk menghasilkan keputusan yang baik di atas kad markah.

“Ia agak sukar untuk mengeluarkan bola dari ‘rough’ yang tebal ditambah pula dengan keadaan ‘fairway’ yang sempit. Oleh itu, meletakkan bola di permukaan ‘fairway’ merupakan satu kelebihan buat pemain.

“Saya perlu melakukan pukulan tiga wood dan lima wood dengan baik untuk pastikan saya berpeluang meraih kejayaan. Saya menghadapi kesukaran pada tahun lepas. Saya harap dapat lakukan yang terbaik dan seterusnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 30 terbaik dalam Order of Merit,” katanya, yang menamatkan saingan di tempat ke-47 di Terbuka Singapura, baru-baru ini.

Bagi Nicholas Fung pula, beliau akan cuba bermain dengan baik dan tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya, meskipun gagal dalam beberapa kejohanan pada musim lepas.

“Kota Permai adalah venue yang bagus dan saya percaya ramai pemain tempatan membuat persediaan yang baik untuk kejohanan ini. Tidak mustahil, salah seorang daripada pemain negara menang Terbuka Malaysia untuk kali pertama,” kata pemain golf berusia 29 tahun yang masih memburu kejayaan dalam Jelajah Asia selepas menang Queen’s Cup pada 2017.

Terbuka Malaysia kembali dengan kejohanan edisi ke-55 selepas empat tahun tidak dianjurkan, menyaksikan 156 pemain golf dari 20 negara akan bertanding merebut gelaran dalam acara utama anjuran  Persatuan Golf Malaysia (MGA) itu. 

Pemain dari India Anirban Lahiri menjuarai Terbuka Malaysia di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) pada 2015.

-- BERNAMA

Must Watch Video