Skip to main content

Advertisement

Tenis

Terbuka Madrid: Halep sasar kejuaraan

simonahalep.jpg
Simona Halep melakukan langkah besar dalam usaha untuk kembali selaku pemain nombor satu dunia semalam selepas mara ke separuh akhir Terbuka Madrid manakala pilihan utama, Naomi Osaka, tersingkir.

Osaka bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik sejak bergelar pemain nombor satu dunia manakala pakar gelanggang tanah liat, Halep, cemerlang di Sepanyol.

Dan Halep kini mengetahui bakal menggantikan Osaka di puncak jika merakamkan kemenangan minggu ini selepas wakil Jepun itu tewas kepada Belinda Bencic 6-3, 2-6, 5-7.

Bintang kelahiran Romania, Halep, mengatasi Ashleigh Barty 7-5, 7-5 untuk menempah aksi separuh akhir berdepan Bencic.

Dia berada dalam prestasi terbaik untuk kembali selaku pemain nombor satu dunia tetapi Halep masih lagi berasa kesan daripada kecederaan pinggul yang mengetepikannya daripada menyertai Terbuka Stuttgart.

"Saya masih belum cergas sepenuhnya, saya memerlukan satu lagi rawatan tetapi saya masih mampu bermain dengan baik.

"Beraksi dalam separuh akhir merupakan sesuatu yang positif selepas kekecewaan yang dialami dalam saingan Piala Persekutuan," katanya.

Dalam satu lagi aksi, wakil Amerika Syarikat, Sloane Stephens, akan bertemu Kiki Bertens dalam separuh akhir dalam memburu slot ke final buat kali pertama musim ini.

"Saya telah membuat perancangan bersama jurulatih, aksi separuh akhir ini menjanjikan tentangan yang sukar," kata Stephens.
 

Advertisement

Must Watch Video