Skip to main content

Tenis

Terbuka AS: Federer masih mampu gegar Flushing Meadows

rogerfederer.jpg
Roger Federer berkata dia masih mampu meningkat sambil juara kejohanan grand slam 20 kali itu memberi amaran buat kesemua pencabar dalam Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan kemarannya ke pusingan ketiga.

Bekas pemain nombor satu dunia dan pilihan ketiga kejohanan itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk meraih kemenangan 3-6, 6-2, 6-3, 6-4 ke atas Damir Dzumhur di Flushing Meadows, awal pagi tadi.

Pemain bintang itu memaparkan aksi goyah dalam minggu pertama di New York apabila juara lima kali berkenaan memaparkan aksi yang kurang berperwatakan ketika menewaskan muka baru kejohanan grand slam, Sumit Nagal, dalam pusingan pertama.

Federer, yang ditewaskan Novak Djokovic dalam final Kejohanan Wimbledon sebelum teringkir awal dalam Kejohanan Terbuka Western & Southern, melakukan 45 'unforced error' ketika menentang Dzumhur.

Ditanya mengenai permulaan perlahannya di Stadium Arthur Ashe, Federer -- yang memburu kejuaraan pertama Terbuka AS sejak 2008 -- berkata kepada wartawan: "Saya sudah berada di posisi itu untuk kesekian kali di mana anda melalui fasa kecil ketika anda tidak bermula baik dan semua bertanya 'Apakah yang akan anda lakukan?'

"Anda seperti, 'Saya tidak tahu. Hanya kembali ke papan perancangan. Hanya lakukan seperti biasa.'

"Anda berharap hasilnya akan menjadi baik.

"Saya tidak fikir ada rahsia untuk permulaan yang baik selain daripada memanaskan badan dengan baik, mental yang disediakan dengan baik, dan tidak meremehkan lawan anda.

"Saya melakukan semua itu. Anda kenal saya, saya akan sentiasa melakukannya.

"Jadi, apabila ia berlaku seperti ini, dalam dua perlawanan berturut-turut, ia hanya sedikit mengecewakan, terutama apabila tahapnya serendah itu dan terdapat banyak kesilapan dan tenaganya tidak sampai ke sana.

"Tetapi saya boleh melakukannya dengan lebih baik.

"Ia perkara terhebat untuk melangkah ke depan," katanya.

"Saya menerima apa yang saya jangkakan daripada kedua-dua lawan," tambahnya ketika ditanya sama ada dia terkejut dengan dua perlawanan pembukaan berkenaan.

"Saya sedar dengan apa yang akan disajikan Nagal.

"Saya tahu apa yang mampu dihasilkan Dzumhur.

"Namun, saya tidak jangka akan melakukan 15 hingga 20 kesilapan.

"Tetapi lihatlah, mereka amat bersedia dan memaksa saya melakukannya.

"Namun, amat jelas, saya perlu menjadi lebih baik selepas ini," katanya lagi.

Federer akan bertemu sama ada Dan Evans atau pemain pilihan ke-25, Lucas Pouille, dalam pusingan 16.

Advertisement

Must Watch Video