Skip to main content

Tenis

Terbuka Bogota: Sharma ke final selepas kejutkan Arruabarrena

astra-sharma.jpg
Astra Sharma menyifatkan kejayaannya melangkah ke final Kejohanan Tenis Terbuka Bogota sebagai "sukar dipercayai" selepas pemain bukan pilihan dari Australia itu mengejutkan bekas juara, Lara Arruabarrena, dalam separuh akhir, malam tadi.

Arruabarrena menjuarai kejohanan Persatuan Tenis Wanita (ATP) di gelanggang tanah liat itu pada 2012 dan muncul naib juara sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, dia jelas tidak dapat menandingi lawan bukan pilihan berusia 23 tahun itu, yang melakukan 32 kemenangan dan 10 ace untuk meraih kemenangan 7-5, 6-1 dalam tempoh melebihi sejam.

"Saya amat teruja untuk beraksi dalam final pertama saya," kata Sharma.

"Saya gembira kerana dapat beraksi sepanjang minggu ini.

"Saya sukakan Bogota dan bermain dengan amat baik sepanjang minggu ini.

"Saya tidak percaya akan beraksi di peringkat final. Ia sukar dipercayai.

"Apa yang penting, saya dapat mengekalkan kekuatan mental yang baik sepanjang minggu ini.

"Kekal bertenang, positif dan tidak memikirkan terlalu banyak tentang perkara negatif yang berlaku di atas gelanggang.

"Saya hanya perlu beraksi baik dan konsisten untuk meraih mata demi mata," katanya.

Menanti Sharma dalam aksi final adalah pemain pilihan keenam kejohanan, Amanda Anisimova, yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain Brazil, Beatriz Haddad Maia, 4-6, 7-6, 6-2.

"Ia satu lagi perlawanan yang sukar, saya perlu beraksi dalam tiga set.

"Saya amat gembira dengan gaya permainan saya dan bangkit untuk memenangi setiap cabaran.

"Saya gembira kerana saya menang," kata Anisimova selepas melangkah ke final kedua sepanjang kariernya.

Advertisement

Must Watch Video