Pasukan Para Hoki ID (ketidakupayaan intelektual) Malaysia mencipta sejarah apabila meraih pingat gangsa pada edisi sulung Kejohanan Hoki Piala Dunia Para ID 2026 yang berlangsung di Belgium dan Belanda.
Kejayaan itu diraih selepas Malaysia menewaskan Belgium 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Wagener Stadium, Amstelveen, Belanda.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia R. Shanker berkata pencapaian itu membuktikan kemampuan pemain negara untuk bersaing di pentas antarabangsa apabila diberikan peluang, sokongan dan platform yang sewajarnya.
“Pingat gangsa ini bukan sekadar kemenangan tetapi satu detik bersejarah yang membuktikan bahawa pemain kita mampu bersaing dengan pasukan terbaik dunia.
"Mereka menunjukkan keberanian, disiplin dan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejayaan berkenaan juga hasil kerja keras dan komitmen seluruh barisan pemain, jurulatih serta pegawai pasukan yang berusaha membawa nama Malaysia dengan penuh maruah.
“Sokongan keluarga pemain, pengurusan, penaja dan penyokong turut menjadi faktor penting yang menyuntik semangat kepada pasukan sepanjang kejohanan.
“Pencapaian ini adalah milik kita bersama dan saya berharap kejayaan ini menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar untuk Para Hoki ID Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Shanker berkata kejayaan itu juga diharap dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada atlet Para Hoki ID untuk terus berkembang serta mengharumkan nama negara di pentas dunia.-Awani