Skip to main content

Sukan Lain

Terbuka Australia medan pendedahan menjelang Sukan SEA

boling-padang.jpg
Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) memutuskan untuk menghantar skuad negara menyertai Kejohanan Terbuka Australia di Gold Coast, 1-14 Jun ini, sebagai persiapan awal menjelang misi meraih enam pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan. 

Setiausaha Agung PLBM, Zainal Abidin Syed Zain, mengesahkan seramai 20 atlet akan dibawa menyertai kejohanan di Australia itu untuk bertanding dalam acara perseorangan, berpasangan, bertiga dan berempat.

Ia juga sebagai pendedahan awal untuk menyesuaikan diri dengan padang rumput memandangkan pusat latihan di Bukit Kiara menggunakan padang tiruan. 

Sebelum ini, skuad boling padang mengharumkan nama negara dalam temasya Kuala Lumpur dua tahun lalu dengan meraih tujuh pingat emas dan satu perak daripada lapan acara yang dipertandingkan. 

"Apa yang berbeza di sana adalah mereka menggunakan padang rumput.

"Jika padang baru, mungkin menggunakan padang sintetik.

"Padang rumput akan mendatangkan cabaran daripada segi kelajuan, jadi kami perlu mendapatkan momentum itu," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin menjelaskan PLBM sedang menunggu keputusan permohonan mengenai pelepasan tujuh pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua pemain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalani latihan sepenuh masa.

"Masalahnya, kami mahu mereka berlatih sepenuh masa.

"Mereka hanya diberikan pelepasan separuh hari dan perlu ke pejabat pada sebelah pagi atau petang.

"Dalam boling padang, tahap konsistensi itu perlu.

"Apabila mereka tidak berlatih dengan pasukan, ia akan mendatangkan masalah," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video