Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Tenis

Terbuka Australia: Kembali? Saya tidak pernah 'hilang' -- Muguruza

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

muguruza.jpg
Garbine Muguruza menolak idea bahawa dia sudah 'kembali', sebaliknya menegaskan dirinya tidak pernah 'hilang' selepas tampil dalam final grand slam yang berakhir dengan kekalahan kepada Sofia Kenin dalam Terbuka Australia.

Bekas pemain nombor satu dunia, Muguruza, memenangi set pembukaan sebelum diatasi oleh pemain meningkat naik dari Amerika Syarikat itu 4-6, 6-2, 6-2 di Melbourne, semalam.

Pemain bukan pilihan untuk kejohanan utama pertama tahun ini, Muguruza kelihatan seperti pemain yang dilahirkan semula apabila kembali bekerjasama dengan bekas jurulatih, Conchita Martinez, selepas mereka berpisah dua tahun lalu.

Bagaimanapun, membuat penampilan kali pertama dalam aksi final grand slam sejak memenangi Wimbledon pada 2017, bintang Sepanyol itu gagal untuk menampilkan kecemerlangannya di Rod Laver Arena.

Ditanya jika dia berasakan sudah kembali, Muguruza berkata, "Kembali? Hmm, okey. Jika orang melihatnya kerana saya beraksi dalam final grand slam, ia masuk akal.

"Tetapi saya berasakan telah membuat penampilan dalam banyak kejohanan sebelum ini. Saya terlibat dalam banyak pertandingan. Saya tidak hilang. Saya sentiasa berada di sini, hanya gagal ke pusingan akhir, itu sahaja."

Selepas pemain pilihan ke-14, Kenin, menyamai perlawanan, Muguruza memiliki peluang keemasan untuk merampas satu permainan dalam set ketiga.

Juara dua gelaran utama itu meraih tiga mata break point dalam permainan kelima, namun Kenin bangkit dengan pukulan berbisa sebelum menjuarai grand slam pertamanya.

"Saya tidak gembira dengan persembahan saya," kata Muguruza. "Saya berasakan perlu bermain baik hari ini kerana Kenin menampilkan mutu persembahan yang sangat tinggi.

"Saya berasakan perkara paling penting bukanlah pukulan saya. Saya berasakan dia menemui pukulannya dan saya tidak. Kekurangan tenaga dalam persembahan saya turut menjadi salah satu faktor kekalahan dalam perlawanan ini.

"Ia merupakan saat yang sukar. Buat masa ini, sukar untuk berasa gembira walaupun ia adalah kejohanan yang menakjubkan. Anda tewas dalam final tetapi anda perlu ke final untuk menang atau tewas. Saya berasakan Kenin telah bermain dengan baik."



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video