Skip to main content

Tenis

Terbuka Australia: Kanepi tidak sangka dapat kejutkan Sabalenka

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kaia-kanepi.jpg
Kaia Kanepi tidak menyangka dia dapat mengekalkan ketenangannya untuk menyingkirkan pemain pilihan kedua, Aryna Sabalenka, sekali gus mara buat kali pertama ke suku akhir Kejohana Tenis Terbuka Australia malam tadi.

Pemain nombor 115 dunia itu merakamkan kemenangan 5-7, 6-2, 7-6 di Arena Margaret Court untuk menempah pertemuan dengan Iga Swiatek bagi penentuan ke separuh akhir.

Dengan kebangkitan dalam perlawanan itu, Kanepi kini menjadi pemain aktif ke-15 layak ke suku akhir bagi keempat-empat kejohanan utama.

Bagaimanapun, selepas membazirkan empat mata akhir dalam game ke-10 set  terakhir, Kanepi mengakui dia bergelut untuk mengekalkan ketenangannya walaupun sudah berada di depan.

"Saya fikir saya akan kalah selepas membazirkan mata akhir sewaktu servis di tangan saya," kata pemain berusia 36 tahun itu.

"Amat sukar untuk bangkit. Saya tidak sangka saya dapat melakukannya.

"Ia amat sengit. Tangan saya menggeletar ketika mula melakukan servis. Saya tidak dapat memukul masuk setiap servis pertama dan ia menambahkan tekanan saya.

"Ia agak gila. Saya fikir saya akan lebih gembira jika saya menang dengan dua atau tiga mata akhir. Ia amat hampir untuk saya tewas. Saya berasa agak letih sekarang.

"Terbuka Australia merupakan satu-satunya suku akhir kejohanan grand slam yang saya tidak pernah layak. Berdasarkan umur, saya sendiri tidak percaya dapat melakukannya. Saya benar-benar gembira," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video