Skip to main content

Tenis

Terbuka Australia: Impian Kenin jadi kenyataan

skenin.jpg
Sofia Kenin terlalu gembira dan beremosi selepas menyempurnakan impiannya sejak zaman kanak-kanak dengan menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Australia menerusi penampilan pertamanya dalam final kejohanan grand slam di Melbourne hari ini.

Kenin menjadi pemain Amerika Syarikat (AS) paling muda memenangi kejuaraan utama -- sejak Serena Williams melakukannya dalam Kejohanan Terbuka AS pada 2002 -- dengan menewaskan Garbine Muguruza 4-6, 6-2, 6-2.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang juga finalis termuda dalam Terbuka Australia sejak Maria Sharapova pada 2008, tewas dalam aksi sengit set pertama yang berlangsung selama 52 minit sebelum menyemarakkan suasana di Arena Rod Laver itu dengan aksi kukuhnya untuk bangkit mengatasi Muguruza.

Ketika berdepan penonton dalam majlis penyampaian trofinya, pemain pilihan ke-14 itu -- yang menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Ash Barty, dalam separuh akhir kelmarin -- berkata: "Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Garbine di atas perlawanan dan kejohanan yang hebat ini.

"Saya pasti kami akan berdepan dalam banyak perlawanan final yang akan datang.

"Saya hanya mahu berkata yang impian saya secara rasminya sudah menjadi kenyataan.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan ini.

"Ia amat beremosi dan saya berusaha dengan amat gigih.

"Saya sukakan kejohanan ini.

"Ia sememangnya satu penghormatan dan keistimewaan untuk berada di sini dan terima kasih banyak.

"Saya tidak sabar untuk kembali ke sini tahun depan.

"Saya mahu berterima kasih kepada penonton, dua minggu ini merupakan dua minggu terhebat dalam hidup saya.

"Akhir sekali, saya ingin berterima kasih kepada pasukan saya, ayah saya dan semua yang berada di sini.

"Terima kasih kerana menjadikannya satu kenyataan.

"Terima kasih kerana sentiasa ada dengan saya.

"Saya tidak percaya kita berada di sini hari ini.

"Kita sudah berusaha dengan amat gigih dan saya berasa bersyukur dengan seikhlas hati saya.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada ibu saya, yang sudah pulang ke rumah dan mungkin menonton ucapan ini.

"Saya sayangkan ibu!

"Semua yang berada di rumah, terima kasih kerana sokongan anda.

"Kita sudah berusaha keras untuk kejayaan ini," katanya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found