Skip to main content

Sukan Lain

TERBAIK 2023: 41-33

anugerah-siebel.jpg

Rangkuman 50 Terbaik kalendar sukan tempatan & antarabangsa sepanjang tahun 2023.

41. HOKI DALAM DEWAN TUMBANG DI TANGAN INDONESIA 

Malaysia gagal mempertahankan pingat emas saingan hoki dalam dewan lelaki di temasya Sukan SEA Kemboja apabila tersungkur di tangan Indonesia menerusi penentuan ‘shoot out’ pada aksi final penuh mendebarkan di Dinosaur Park Hall. 

Advertisement

Lebih mendukacitakan, Malaysia terpaksa akur air tangan bekas pengendali skuad wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bersama Indonesia membawa pulangan lumayan dengan mereka berjaya bangkit menyamakan kedudukan 3-3 selepas ketinggalan 0-3 di suku terakhir. 

Kekalahan sekaligus meleburkan sasaran pingat emas yang diletakkan Majlis Sukan Negara, MSN kepada pasukan hoki dalam dewan negara. 

 

40. DATUK AZIZULHASNI TARIK DIRI SUKAN ASIA 

Tiga hari sebelum temasya Sukan Asia Hangzhou membuka tirai, kontinjen negara menerima tamparan hebat apabila prospek pingat emas, Datuk Azizulhasni Awang sah menarik diri daripada saingan temasya edisi ke-19 itu. 

The Pocket Rocketman itu terpaksa berbuat demikian susulan kecederaan kaki dan pinggul kirinya gara-gara kemalangan dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nilai lima hari sebelum itu menjadikan rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom menjadi sandaran tunggal untuk butir emas. 

Pelumba kelahiran Terengganu ini sudah mengumpul dua emas di pentas Sukan Asia menerusi kejayaan pada edisi 2010 dalam acara keirin dan 2018 acara pecut. 

 

39. SAFEE SALI UMUM PERSARAAN 

Tanggal 21 Februari 2023 menjadi saksi bekas penyerang berbisa negara, Safee Sali mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional selepas hampir 20 tahun berkecimpung dalam bidang ini. 

Pada usia 39 tahun, tiada kekesalan yang terbit di hati pemain ini yang sudahpun meledak lebih 136 gol bersama kelab disertai antaranya, KL City, Selangor, PKNS, Johor DT dan kelab Indonesia, Pelita Jaya selain 47 gol yang dihasilkan bersama Harimau Malaya. 

Safee menjadi tonggak penting kejayaan Malaysia di Piala AFF 2010 dimana kejuaraan tunggal itu menyaksikan dia dinobat sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol. 

 

 

 

38. INSIDEN YAZAN AL ARAB SEPAK PUNGGUNG PENGADIL 

Tarikh 20 November menjadi tarikh penting buat pasukan Selangor FC selepas hukuman yang bakal menanti Yazan Al Arab diketahui susulan tindakan kasarnya terhadap pengadil ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 yang menemukan Selangor dan Terengganu. 

Yazan digantung seumur hidup daripada beraksi di Liga Malaysia selepas Jawatankuasa Tatatertib Bola Sepak Malaysia, FAM memutuskan hukuman itu selepas dia didapati melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59, Kod Tatatertib FAM kerana meluru sambil mengeluarkan kata-kata kepada pengadil. 

Pertuduhan pertama, Yazan dikatakan menarik bahu sebelum menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada pengadil perlawanan. Dan bila dilayangkan kad merah, Yazan secara agresif menyerang dan menyepak ke bahagian punggung kiri pengadil. Sementara pertuduhan kedua, dia bertindak meludah ke arah pengadil. 

Yazan digantung empat perlawanan bagi pertuduhan pertama dan digantung seumur hidup daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk pentadbiran, pengurusan dan kesukanan serta aktiviti berkaitan bagi pertuduhan kedua. 

37. ELAVARASAN & SKUAD B23 BERPISAH 

Kerusi 'panas' sebagai pengendali skuad Bawah 23 tahun negara kembali kosong apabila penyandangnya, E Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatan terbabit selepas setahun memimpin pasukan itu. 

Situasi terbabit disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memaklumkan Elavarasan mahu memberi fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong kepada jurulatih skuad kebangsaan. 

 

36. SENSASI TANG JIE & EE WEI 

Walaupun baru setahun digandingkan bersama tetapi Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei tetap menyinar. Mengisi ranking kelapan kategori beregu campuran yang membolehkan keduanya beraksi buat pertama kalinya di pentas final Jelajah Dunia BWF sebelum terpaksa akur aksi berakhir di peringkat kumpulan. 

Antara pencapaian terbaik yang diraih gandingan ini, menang Masters Orleans dan Terbuka Taiwan, Cabaran Antarabangsa Iran dan Bangladesh selain mara ke pentas separuh akhir empat kali dengan kali terakhir Terbuka Korea Selatan. 

 

 

35. ASTRO ARENA RANGKUL ANUGERAH SIEBEL 

Astro Arena terus cemerlang raih Anugerah Siebel buat kali keempat dalam penganjuran Anugerah 100PLUS Perpaduan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2022 menerusi wartawan Zulhelmi Zainal Azam yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM7000. 

Laporan khas AAORCA yang menceritakan mengenai masalah jantung yang dialami jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berjaya memancing hati juri sekaligus ditabal sebagai pemenang Laporan Khas dan Siebel. 

 

34. HAFIZH SYAHRIN SERTAI JDT RACING TEAM 

Hafizh Syahrin teruja mendapat tawaran beraksi bersama JDT Racing Team yang akan membuat penampilan di Kejuaraan Motosikal Asia, ARRC tahun depan. 

Hafizh yang ketika ini beraksi di perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia, WSBK enggan lepaskan peluang untuk menaikkan kembali nama JDT di pentas antarabangsa. 

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim buat kejutan apabila mengesahkan perancangan untuk memperluaskan lagi jenama JDT dengan bakal menceburi arena sukan permotoran tahun depan 

 

33. OLAHRAGAWAN & OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN 

Beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 selepas pasangan ini melakar kejayaan membanggakan dengan mengungguli Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo Ogos tahun lalu. 

Pencapaian tersebut menjadi sejarah baharu dalam arena badminton negara apabila pasangan ini menjadi pemain pertama Malaysia yang berjaya menggondol gelaran dunia. 

Dalam pada itu, anugerah Olahragawati Kebangsaan jadi milik gimnas negara, Ng Joe Ee yang bakal mencecah usia 18 tahun Disember depan susulan dua pingat emas yang diraih di Sukan Komanwel di Birmingham tahun lalu. 

Must Watch Video