Permainan pesawat udara kawalan jauh tanpa juruterbang atau dikenali sebagai dron semakin popular apabila evolusi canggih tersebut mula menggunakannya sebagai medium sukan dalam kalangan komuniti tempatan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohamad Najwan Halimy, merasmikan program National Drone Sports Strategic Roadmap (NADSAR) dengan tumpuan utama terhadap pembangunan sukan dron di Malaysia.
"Ini antara perkara baru dan tidak salah untuk diterokai. Di peringkat perseketuan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga mengingatkan supaya beradaptasi dengan setiap perubahan terkini.
"Selain teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), dron ialah inisiatif yang boleh dikembangkan lagi.
"Paling penting, sejauh manakah dron ini mampu memberi nilai tambah atau manfaat kepada pembangunan anak muda dan negara," katanya ketika ditemui di Cyberjaya.
Najwan turut berharap NADSAR memberi impak positif untuk mempromosikan lagi aktiviti menggunakan teknologi terkini lebih-lebih lagi dalam bentuk aksi perlumbaan atau pameran sukan.
"Ada pasukan dron yang membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa tidak mendapat sokongan rasmi daripada pihak kerajaan dan bergerak secara profesional.
"Selepas ini mungkin kami boleh membincangkan bagi membantu mereka membawa nama Malaysia di persada dunia," katanya lagi.
Najmi Iman
Fri Nov 29 2024