Skip to main content

Sukan Lain

Tamer Abdelraouf kecewa atlet karate negara rai mata terlalu awal sebelum tewas kepada Vietnam

coach-karate-malaysia.jpg
Ketua jurulatih skuad karate negara, Tamer Abdelrouf, kecewa apabila anak buahnya gagal mempertahankan pingat emas acara kumite berpasukan lelaki dalam saingan Sukan SEA Kemboja di Changvar Convention Centre, Phnom Penh hari ini.

Kekecewaan itu bukan disebabkan kekalahan 2-3 kepada Vietnam atau keputusan pengadil yang tidak memihak Malaysia dalam aksi final berkenaan tetapi ia adalah disebabkan pesanannya untuk atlet negara tidak meraikan mata terlalu awal tidak diendahkan.

Baginya, keraian mata sewaktu bertarung di dalam gelanggang hanya akan mengganggu fokus sebagai seorang juara.

"Mereka meraikannya sebelum kami menamatkan saingan. Saya sudah katakan banyak kali sebelum ini, jangan meraikannya selagi ia belum tamat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Jangan menjadi terlalu emosi kerana pertarungan masih berlangsung. Jangan meraikan apa-apa selagi anda masih bertarung.

"Kenapa perlu raikannya sebelum menang, ia masih belum berakhir.

"Tetapi seperti yang saya katakan, ia tetap satu pengajaran besar.

"Mungkin mereka masih belum faham apa yang saya mahukan kerana saya datang dari negara yang berbeza, budaya yang berbeza dan tahap yang berbeza.

"Tetapi, Insya-Allah, ia akan menjadi lebih baik selepas ini," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video