HOKI
Taktikal Dhaarma berhasil -- Norazlin
Di sebalik kegagalan skuad hoki wanita negara melayakkan diri ke pusingan play-off Sukan Olimpik, terdapat pengajaran serta pengalaman positif dapat diambil dalam Pusingan Akhir Siri Hoki FIH baru-baru ini.
Malaysia mengakhiri kejohanan di Banbridge, Ireland Utara, itu dengan pencapaian terbaik yang pernah diraih setakat ini.
Kejayaan meraih tempat ketiga itu, bagaimanapun, masih belum berupaya untuk memberikan skuad negara tiket kelayakan automatik ke pusingan play-off kelayakan ke Sukan Olimpik.
Iklan
Bagaimanapun, terdapat perkara positif diterima dalam saingan kali ini seperti diakui pemain negara, Norazlin Sumantri serta Kirandeep Kaur.
"Melangkah ke separuh akhir merupakan satu pencapaian luar jangkaan buat skuad negara. Mengatasi pasukan seperti Perancis adalah kemenangan yang berharga," kata Norazlin.
"Di atas kertas, kami merupakan pasukan kelima dalam kedudukan ranking. Menamatkan saingan di tempat ketiga adalah satu pencapaian yang membanggakan," kata Kirandeep.
Norazlin turut mendedahkan keberkesanan skuad negara beraksi di Ireland terhasil menerusi latihan intensif serta 25 aksi persahabatan yang membantu pasukan menguasai taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.
"Siri persahabatan berdepan beberapa pasukan membantu melonjakkan momentum pasukan menghadapi saingan di Ireland.
"Latihan intensif yang dilakukan semasa bulan Ramadan terhasil menerusi kemenangan yang diraih.
" Jurulatih Dhaarma Raj telah menerapkan taktikal dalam setiap aksi persahabatan sebelum ke Ireland. Segala kepenatan yang kami harungi berjaya dijelmakan dalam kejohanan itu," tambah Norazlin.
Must-Watch Video



