Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Syahir rasa tidak layak untuk emas

syahir-rosdi.jpg
Tekong sepak takraw negara, Muhammad Syahir Rosdi, menganggap dirinya tidak layak untuk menerima pingat emas berdasarkan prestasi yang kurang memuaskan dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang dengan tekad ingin memperbaiki pencapaiannya sebaik sahaja tiba di tanah air, semalam. 

Syahir tidak dapat menahan kesedihan sewaktu penyampaian pingat di Palembang, Selasa lalu, kerana memikirkan dirinya tidak layak untuk menerima kejayaan itu akibat prestasi merosot yang ditampilkan dalam aksi final antara regu. 

Namun, dia bertekad untuk bangkit dengan sambil menganggap temasya kali ini cukup memberi kesan mendalam kepada dirinya. 

Mungkin gelaran selaku tekong utama tidak lagi akan memihak kepada Syahir tetapi itu tidak bermakna pemain berusia 22 tahun berkenaan akan menyerah kalah.

"Semasa penyampaian pingat, saya tidak rasa layak untuk menerimanya.

"Saya berasa malu kerana tidak dapat memberikan prestasi yang baik ketika mewakili Malaysia. 

"Ia aksi final dan jutaan rakyat Malaysia menontonnya. 

"Saya harap ia tidak berlaku lagi," katanya. 

Skuad sepak takraw negara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) disambut dengan meriah bersama ahli keluarga dan juga Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Barisan pemain menganggap ini adalah sambutan yang paling bermakna pernah diterima, diiringi dengan pingat emas buat negara. 

"Alhamdulillah, kami sangat bangga atas sambutan yang diberikan. 

"Kami tidak dapat berikan apa-apa selain daripada pingat emas," kapten negara, Farhan Adam.

Advertisement

Must Watch Video