Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Skuad negara mula langkah kiri

malaysia.jpg
Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila kedua-dua wakil dalam acara sepak takraw regu berpasukan lelaki dan wanita tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi pembukaan Sukan Asia 2018, hari ini.

Skuad  lelaki masih cuba memberikan tentangan sengit meskipun berdepan dengan juara bertahan, Thailand, pada sebelah pagi, dan perlu mengharungi satu lagi perlawanan menentang Korea Selatan pada sebelah petang.

Regu utama negara yang dibarisi Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias memulakan saingan menentang Thailand yang diterajui perejam terbaik dunia, Pornchai Kaokew, menyaksikan Malaysia tumpas 10-21, 21-13, 17-21.

Nasib sama dialami regu kedua negara apabila tumpas 22-24 , 11-21 dan sisa perjuangan Malaysia dinoktahkan Thailand dalam aksi regu ketiga dengan keputusan 14-21, 12-21.

Malaysia akan turun selepas ini dengan misi wajib menang ke atas Korea Selatan bagi mencari slot ke pusingan separuh akhir.

"Kami akan cuba memperbaiki kelemahan untuk aksi kedua berdepan Korea dan lebih memberikan tumpuan kepada permaiann bertahan," kata pemain negara, Afiffudin Razali.

"Kami hampir melakarkan kemenangan, tetapi tuah tidak memihak kepada pasukan Malaysia," kata jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad.

Bagi acara wanita, hasrat skuad kendalian Mohd Fikri Mohd Nor untuk mencatat kemenangan tidak kesampaian apabila tumpas 0-3 kepada Vietnam.

Regu pertama Vietnam mudah menundukkan Malaysia11-21, 13-21.

Regu kedua Malaysia menampakkan sinar dengan memberikan cabaran, namun tetap tewas 21-18, 13-21, 13-21.

Regu ketiga turut gagal mencari jalan untuk meraih kemenangan apabila tunduk 10-21,10-21.

"Saya berpuas hati untuk perlawanan ini kerana kami memberikan tentangan kepada lawan tetapi kemenangan tidak menyelebelahi kami," kata pemain negara, Nur Rashidah Rashid.

Advertisement

Must Watch Video