Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Skuad kuadran wanita hidupkan peluang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

fikri-wanita.jpg
Selepas tewas kepada Thailand, skuad sepak takraw wanita negara bangkit untuk melakar kemenangan dengan menjadikan India mangsa bagi aksi kuadran empat sepasukan Sukan Asia 2018 di Kompleks Sukan Jakabaring, hari ini.

Di atas kertas, Malaysia tidak sepatutnya menghadapi masalah untuk menewaskan India dan jurulatih, Fikri Mohd Noor, menurunkan gandingan Nur Izzatul Hikmah Md Zulkifli, Rahilah Harun, Nor Farhana Ismail dan Siti Nor Suhaida Jafri.

Sememangnya barisan pemain negara menterjemahkan strategi yang diterapkan jurulatih apabila mudah menang set pertama 21-13.

Memasuki set kedua, barisan pemain India dilihat semakin longlai dan kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh Malaysia untuk menoktahkan kejayaan dengan keputusan 21-9.

Kemenangan itu mencerahkan kembali peluang skuad negara untuk layak ke separuh akhir tatkala Malaysia akan menghadapi satu lagi aksi menentang Jepun, petang ini.

"Pemain-pemain sudah melupakan kekalahan di tangan Thailand semalam. Mahu atau tidak, kami harus menghidupkan peluang ketika berdepan India.

"Alhamdulillah, kami menang dan peningkatan dipamerkan. Namun, masih wujud aspek yang perlu diperbaiki sebelum menentang Jepun, petang nanti," katanya.

Advertisement

Must Watch Video