Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Skuad kuadran terpaksa akur kehebatan Vietnam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

asiana-kuadran.jpg
Kekalahan 0-2 Malaysia kepada Vietnam dalam acara kuadran empat sepasukan menyaksikan harapan skuad sepak takraw wanita negara untuk mara ke peringkat separuh akhir semakin tertutup rapat, sekali gus bakal terlepas peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Sukan Asia kali ini.

Sebelum berlepas ke Palembang lagi, jurulatih negara, Mohd Fikri Mohd Nor, melaungkan keyakinan akan membawa pulang pingat gangsa daripada Sukan Asia kali ini.

Setelah terkandas dalam acara regu berpasukan tempoh hari, barisan pemain Malaysia ingin membalas kembali kekalahan kepada Vietnam dalam acara kuadran.

Mengekalkan Siti Nor Shaida Jafri, Rahila Harun, Nur Izzatul Hikmah dan Nor Farhana Ismail, Malaysia cuba memberikan tentangan.

Namun, set pertama menjadi milik Vietnam selepas mencatat keputusan 21-11.

Malaysia enggan mengalah, namun kehebatan perejam Vietnam menjadi pemisah dengan terus menjarakkan mata demi mata, dan akhirnya Malaysia tewas dengan keputusan 15-21.

Bagaimanpun, Malaysia masih mempunyai harapan dengan mengharapkan Jepun menumbangkan Vietnam apabila kedua-dua pasukan akan bertemu pada sebelah petang nanti.

"Kami dapat bersaing tetapi Vietnam mengambil kesempatan di atas kesilapan kami. Jika ia dapat dikurangkan, kami mampu menghasilkan keputusan yang berbeza," kata Fikri.

"Kami telah cuba yang terbaik. Mungkin terdapat kelemahan lagi yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi saingan akan datang," kata Nur Izzatul.

Imej: Asiana

Advertisement

Must Watch Video