Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Semangat skuad wanita belum pudar

takraw-wanita.jpg
Impian memburu pingat acara regu berpasukan sudah lenyap buat skuad sepak takraw wanita negara tetapi mereka membawa bekalan semangat menjelang aksi penutup Kumpulan B, Sukan Asia menentang tuan rumah, Indonesia, esok, selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Jepun.

Malaysia sebelum pertemuan ini sudah merasai kekalahan 0-3 di tangan Vietnam dan Myanmar.

Kekalahan ini, bagaimanapun, tidak menggugat semangat Malaysia untuk memburu kemenangan menentang Jepun, hari ini.

Aksi sengit regu pertama dibarisi Izzatul Hikmah Zulkifli, Siti Nor Suhaidah Jafri dan Farhana Ismail menceritakan cabaran yang dihadapi Malaysia.

Regu negara tewas set pertama 17-21 sebelum bangkit dua set berikuntnya dengan kemenangan 21-13, 21-19.

Kombinasi yang turun berikutnya lebih konsisten sebelum memastikan kemenangan Malaysia dengan keputusan straight sets 21-19, 21-12.

Regu ketiga yang menampilkan barisan simpanan, Fatihah Azizul, Liyana Ismail dan Kamisah Khamis, tidak mengecewakan sebelum memastikan kemenangan Malaysia dalam pertembungan mendebarkan itu hasil catatan 23-21, 22-20.

"Selepas tewas 0-3 kepada Myanmar pagi tadi, secara tidak langsung menutup peluang kami untuk layak ke separuh akhir.

"Tetapi, sekurang-kurangnya pemain beroleh kemenangan moral ke atas Jepun selain pertemuan terakhir dengan Indonesia pagi esok. 

"Saya harap semangat dan mental pemain negara cukup tinggi untuk berdepan penyokong Indonesia yang ramai. 

"Pemain-pemain haruslah tidak terikut-ikut," kata ketua jurulatih sepak takraw wanita negara, Mohd Fikri Mohd Nor. 

Advertisement

Must Watch Video