Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Regu negara raih kemenangan kedua

takraw.jpg

Malaysia melakar satu lagi kemenangan dalam aksi Kumpulan B saingan Sukan Asia 2018 dengan yang terbaru menundukkan India 2-0 untuk terus menghimpit Korea Selatan dalam perebutan menjadi juara kumpulan.

Berbanding taktik menentang Nepal semalam dengan menampilkan barisan simpanan, Malaysia menurunkan regu utama yang terdiri daripada Syahir Rosdi sebagai tekong, bergandingan dengan Farhan Adam sebagai apit kiri dan perejam, Azlan Alias.

India tidak rela menjadi pasukan belasahan sebagaimana Nepal apabila memberikan saingan, bagaimanapun Malaysia bermain lebih baik untuk menamatkan set pertama dengan keputusan 21-13.

Aksi dalam set kedua, Malaysia banyak membuat kesilapan yang memberikan mata mudah untuk India sehingga mereka mendahului seketika pada pertengahan saingan. 

Mujur trio negara memperbaiki kesilapan itu untuk menoktahkan kemenangan 22-20.

Malaysia akan berentap dengan Korea Selatan petang ini dalam misi wajib menang bagi mencerahkan peluang menjadi juara Kumpulan B, sekali gus  mengelakkan pertemuan dengan Indonesia yang turut dijangka menjadi juara Kumpulan A apabila pertemuan peringkat separuh akhir berlangsung nanti.

"Kami mengambil mudah perlawanan berdepan India. Saya seharusnya lebih agresif dan tidak memberikan ruang kepada mereka untuk mengutip mata," kata pemain negara, Azlan.

"Kami akan berusaha meraih kemenangan ke atas Korea Selatan bagi mengelak tuan rumah dalam aksi separuh akhir," ujar jurulatih skuad negara, Abdul Talib Ahmad.

Advertisement

Must Watch Video