Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Regu berpasukan negara intai peluang hampakan tuan rumah

hafizie-abd-razak-takraw.jpg
Jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, enggan hanya berpuas hati dengan pingat gangsa, sebaliknya menggesa anak buahnya menumbangkan Indonesia di hadapan penyokong mereka bagi mencari slot ke perlawanan akhir acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, esok.

Kejayaan menumbangkan Korea Selatan 3-0 dalam Kumpulan A semalam menaikkan kembali keyakinan skuad negara selepas mereka kecundang 0-3 kepada Thailand dalam aksi pembukaan.

Mereka bukan sahaja menempah slot ke separuh akhir, malah menebus kembali kekalahan kepada Korea Selatan dalam Piala Raja Thai, Disember tahun lalu.

Dalam erti kata lain, gangsa sudah pasti berada dalam genggaman Malaysia kerana tiada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat bagi saingan sepak takraw, namun barisan pemain Malaysia masih mempunyai satu lagi misi, iaitu mengembalikan maruah yang dicalarkan Indonesia ketika tewas 1-2 dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

"Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan pingat. Apa yang penting ketika ini adalah menentukan kilauannya. 

"Kami faham apabila berdepan tuan rumah, sudah pasti penyokong akan menyebelahi pasukan mereka. Kini terpulang kepada kami untuk mengatasinya," kata Abdul Talib.

Selain perlu berhadapan dengan barisan pemain Indonesia, skuad negara juga perlu mempersiapkan mental tinggi dengan permainan psikologi penyokong tuan rumah yang fanatik.

"Kami ingin menebus kehampaan kempen Sukan SEA 2017 di tanah air. Ia amat menyedihkan. 

"Kami menaruh harapan tinggi," kata pemain negara, Hafizie Abd Razak.

 

Advertisement

Must Watch Video