Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Percaturan tukar tekong menjadi

zulkifli-abd-razak.jpg
Skuad sepak takraw negara semakin hampir untuk menjuarai Kumpulan B acara antara regu selepas menundukkan Korea Selatan 2-0 dalam aksi penuh mendebarkan di Gedung Sukan Ranau, Jakabaring, hari ini untuk mengesahkan laluan ke separuh akhir.

Ia bagaikan ulangan pertemuan peringkat kumpulan acara regu berpasukan tempoh hari, dengan Korea Selatan memasang impian untuk menundukkan Malaysia bukan sahaja bagi membalas kembali kekalahan dialami, malah turut mencerahkan peluang mereka untuk menjadi juara kumpulan.

Malaysia mengekalkan barisan sama ketika berentap dengan India pada sebelah pagi apabila menggunakan trio utama yang dibarisi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam. 

Servis bola yang lemah ditampilkan tekong, Syahir, menyebabkan dia ditukarkan dengan seorang lagi pemain, Zulkifli Abd Razak, dalam pertengahan set pertama.

Selepas itu, barulah nampak kebangkitan dalam corak permainan Malaysia, ditambah rejaman padu Azlan untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan 23-21.

Keyakinan mula menebal dalam diri pemain Malaysia meskipun disulami beberapa keputusan kontroversi oleh pengadil, namun ia tidak menjejaskan momentum barisan pemain negara yang akhirnya menoktahkan kemenangan 21-15.

"Kita tahu Korea mempamerkan banyak peningkatan. 

"Saya masuk tadi untuk membantu rakan-rakan dan negara," kata pemain negara, Zulkifli Abd Razak. 

Malaysia akan bertemu dengan China pagi esok sebelum beraksi dalam perlawanan separuh akhir pada sebelah petang.

"Selepas Syahir kurang mendapatkan 'ace' dalam servisnya, percaturan menukarnya dilihat menjadi," ujar jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad. 

Advertisement

Must Watch Video