Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: ISTAF jamin venue siap sebelum mula acara

halimkader.jpg
Hanya kurang empat hari lagi sebelum bermulanya acara sepak takraw Sukan Asia, namun kerisauan timbul apabila venue yang terletak di Dewan Sukan Ranau, Jakabaring masih belum siap sepenuhnya.

Isu ini timbul apabila kelengkapan seperti tikar permukaan gelanggang, 700 biji bola takraw berserta jaring dan beberapa lagi kelengkapan yang diimport dari Thailand lewat tiba ke Palembang.

Namun, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, memberi jaminan bahawa kesemua kelengkapan itu tidak memerlukan masa yang lama untuk dipasang dan bakal siap sepenuhnya esok.

Bagaimanapun, tiada sesi menguji gelanggang akan diperuntukkan kepada semua pasukan bertanding, termasuk tuan rumah, Indonesia.

"Kesemua pasukan tidak akan berpeluang untuk menjalani sesi ujian kerana venue akan disiapkan sebelum saingan bermula," katanya.

Untuk julung kalinya juga dalam sejarah sepak takraw, sistem mencabar keputusan pengadil, mirip dalam sukan badminton, akan diguna pakai pada edisi Sukan Asia kali ini bertujuan melicinkan lagi sistem pengadilan.

Sebanyak 24 kamera ditempatkan untuk tiga gelanggang sepak takraw di venue pertandingan dan kesemua pasukan akan diberikan taklimat mengenai sistem ini.

Ia sepatutnya sudah pun dilaksanakan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos tahun lalu, namun ia tidak dapat dijalankan kerana berdepan dengan masalah teknikal.

"Setiap gelanggang yang bakal digunakan akan memiliki sistem 'challenge' bagi melancarkan permainan serta mengelak sebarang tindakan yang tidak diingini berlaku," jelasnya.
 

Advertisement

Must Watch Video