Skip to main content

Hoki

Takhta juara keseluruhan jadi buruan MBPJ Tigers

hafizi-baharom.jpg
Pasukan MBPJ Tigers bertekad memburu satu lagi sejarah selepas berjaya menjulang kejuaraan Liga Hoki Remaja Kebangsaan buat pertama kalinya sepanjang penubuhan kelab itu.

Selepas mencipta kejayaan menjulang kejuaraan liga, Ahad lalu, MBPJ Tigers bakal berdepan Anderson Thunderbolt dalam perlawanan suku akhir saingan Piala Remaja TNB 2017.

Di atas kertas, MBPJ tampak lebih ampuh apatah lagi rekod perlawanan dalam liga memihak kepada mereka dengan keputusan 3-1 ketika bertemu 16 April lalu.

Tambahan pula, mereka  berjaya mendapatkan khidmat dua tonggak negara, Razie Abdul Rahim dan Tengku Ahmad Tajuddin bagi  membantu jurulatih, Mohd Hafizi Baharom, memberi tunjuk ajar kepada barisan pemain.

"Kami mahu muncul juara keseluruhan, jadi misi itu akan bermula esok," kata Hafizi.

MBPJ juga mengharapkan sentuhan penyerang, Nur Asraf Ishak, untuk kembali memburu jaringan dalam pertemuan itu nanti.

Asraf sudah mengumpul enam gol setakat ini dengan lima daripadanya disempurnakan menerusi pukulan sudut penalti.

"Sebelum ini, jurulatih juga mengingatkan kami untuk tidak terlalu meninggi diri walaupun sudah melakar kemenangan. Seperti selepas ini berdepan Anderson, kami tidak boleh ambil mudah perlawanan itu," ujar Asraf.

Advertisement

Must Watch Video