Mayat kelima-lima mangsa yang terlibat dalam insiden bot regata karam ketika latihan di Sungai Sarawak kelmarin ditemukan pagi tadi.

Mangsa terakhir kejadian dekat Royal Bay Commercial Centre itu ditemukan pada 7.09 pagi tadi -- dijumpai kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut dikenali sebagai Mohamad Ikhmal Sama'ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23; dan Mohamad Khairul Bidin, 26.

“Syg kmk turun latihan lok bye asslmualaikum I love you”, demikian Whatapps voice terakhir Afiq Isyamudin yang dihantar buat isterinya, Aiza, sekitar jam 2.30 petang sebelum turun berlatih.

Pasangan muda ini mempunyai seorang anak lelaki berusia empat bulan.







Kesemua mangsa dan proses pengecaman mayat oleh ahli keluarga kemudian selesai di Hospital Umum Sarawak (HUS), 9 pagi tadi.

Dalam kejadian Jumaat lepas itu, bot mangsa yang dinaiki 16 peserta yang terdiri daripada kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) tersebut karam akibat gelombang yang dihasilkan oleh sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan.