Skip to main content

Sukan Asia

Syed Omar terpaksa tangguh perjalanan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

syed-omar.jpg
Pengurus pasukan ekuestrian yang juga bekas atlet negara, Syed Omar Abu Bakar Al Mohdzar, terpaksa menangguhkan perancangan ke Sukan Asia 2018 apabila anaknya mengalami kemalangan, semalam.

Syed Omar sepatutnya sudah bersama atlet ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, di Jakarta hari ini, namun keadaan anaknya tidak mengizinkan.

Justeru, dia tiada pilihan selain terpaksa menangguhkan perjalanan dan hanya akan ke sana pada Rabu ini selepas anak perempuannya yang patah kaki disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius lain.

"Perancangan masih sama, cuma saya terpaksa menangguhkan perjalanan sehari. Kuda-kuda akan sampai ke sana esok dan veterinar negara juga sudah berada di Indonesia," katanya.

Mengenai persiapan skuad negara, Syed Omar mahu peminat bersikap rasional memandangkan kekuatan negara lain di Asia sudah jauh meninggalkan skuad negara.

Antaranya Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jepun yang menjadi pilihan utama dan harapan realistik pasukan negara ditetapkan untuk berada dalam kalangan 10 terbaik bagi setiap acara.

"Saya rasa kami harus bersikap logik kerana tahap di Sukan Asia berbeza. Kami akan berdepan pesaing-pesaing Olimpik dari Arab Saudi. 

"Malaysia boleh merangkul pingat atau tidak, keadaan tidak akan sama seperti ketika Sukan SEA," ujarnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video