SUKAN LAIN
Syakilla tidak buat KBS serik
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus dengan dasar mengutamakan atlet dalam menyelesaikan masalah meskipun pendekatan memanjakan bekas atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, tidak berhasil.
Sebelum mengumumkan pengunduran daripada skuad kebangsaan minggu lalu, Syakilla tetap mendapat layanan kelas pertama pada waktu dia dibelenggu isu disiplin dan masalah berat badan.
Bekas pemenang pingat emas Sukan Asia 2014 itu diberi peluang untuk terus menyertai kejohanan dan program latihan bersama jurulatih peribadi, Andris Vasiljevs.
Iklan
KBS, menerusi menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan kes-kes akan datang membabitkan atlet berprofil tinggi akan tetap diberi perhatian sama dan mereka tidak seharusnya dihukum atas pulangan mengecewakan daripada isu Syakilla, yang digelar media selaku "diva nombor satu sukan negara".
"Kami akan terus memberikan sokongan kepada setiap atlet negara. Sebelum sebarang keputusan yang dilakukan selepas ini, kami akan cuba berbincang secara terperinci bagi memastikan ia adalah yang terbaik dan dapat dipersetujui oleh semua pihak," katanya.
Syed Saddiq hari ini merasmikan Bulan Sukan Negara di Putrajaya dengan acara kemuncak sambutan peringkat kebangsaan di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, 12 Oktober ini dengan sasaran untuk merekodkan penyertaan lima juta orang sepanjang berlangsungnya program itu.
Must-Watch Video