Skip to main content

Sukan Lain

Syafiq optimis juarai Skuasy SRAM PSA 1

mohd-syafiq-kamal-skuasy.jpg
Pemain skuasy lelaki negara, Mohd Syafiq Kamal, tidak menyangka mampu mara ke final dengan mudah selepas menewaskan pemain Hong Kong, Tan Ming Hong, dalam Kejohanan Skuasy SRAM PSA 1 di Bukit Jalil, hari ini. 

Syafiq, yang meraih kemenangan straight set 11-7, 11-9, 11-3, optimis mampu merebut gelaran juara dalam aksi final menentang wakil India, Aditya Jagtap, esok. 

"Saya sememangnya sudah menjangkakan ia akan menjadi pertarungan yang sengit kerana dalam pertemuan lalu, saya hanya mampu menang tipis 3-2 ke atasnya.

"Oleh itu, saya turun dengan fokus dan cuba yang terbaik untuk menang straight set kerana bimbang lawan akan menemui rentak dan semakin selesa di gelanggang," kata Syafiq.

Jagtap pula terpaksa bekerja keras untuk menempah slot final selepas menewaskan seorang lagi wakil negara, Addeen Idrakie, sehingga ke set penentuan dengan kemenangan 3-2. 

Dia menganggap nasib menyebelahinya berikutan Addeen mengalami kecederaan kaki yang merencatkan rentak permainannya. 

Jagtap pula menganggap pertemuan itu memberikan cabaran tersendiri buatnya dan gembira dapat keluar sebagai pemenang hari ini. 

"Adden lawan yang sukar kerana dia bermain di tempat sendiri. 

"Ia perlawanan yang sukar. Saya di ranking ke-88 manakala dia pula di kedudukan ke-89. 

"Dia bertubuh kecil dan pantas, apatah lagi saya jarang bertemu lawan sepertinya tetapi malangnya dia dibelenggu kekejangan."

Sementara itu, pemain skuasy wanita negara, Chan Yiwen, berpuas hati mara ke final selepas berehat lapan bulan apabila membenam pilihan utama, Lai Wen Li, 11-6, 11-5, 11-3. 

Yiwen bakal berhadapan dengan pemain muda negara, Noor Ainaa Amani Ampandi, yang menampilkan aksi cemerlang ketika menewaskan rakan senegara, Amirah Rusydina Rosli, 11-9, 11-2, 11-6. 

"Saya mahu meneruskan momentum  esok kerana masih ada satu perlawanan lagi.

"Dalam perlawanan tadi, saya sedikit kehilangan fokus dan selepas memungut beberapa mata, saya sempat berpesan kepada diri sendiri agar kembali fokus," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video