Skip to main content

Sukan Lain

Syafiq akui kepincangan di sebalik juarai Skuasy SRAM PSA 1

mohd-syafiq-kamal.jpg
Pemain skuasy lelaki negara, Mohd Syafiq Kamal, menepati ramalan apabila mengungguli Kejohanan Skuasy SRAM PSA 1 dalam perlawanan akhir menentang Aditya Jagtap dari India. 

Pemain kidal itu menumpaskan Jagtap 3-2 selepas lawannya itu memberikan saingan hebat dalam aksi final di Bukit Jalil, hari ini. 

Syafiq mengakui berasa tertekan untuk beraksi di laman sendiri sambil mengambil pendekatan agresif untuk mencatat kemenangan awal tetapi mendapati Jagtap lawan yang liat untuk ditumbangkan.

Syafiq, yang baru pulih daripada kecederaan, akhirnya menikmati kemenangan selepas menumbangkan Jagtap 13-11, 9-11, 12-10, 10-12, 11-4 untuk gelaran pertamanya bagi edisi 2019.

"Saya agak terburu-buru dalam aksi tadi kerana terlalu mahukan kemenangan. 

"Tindakan itu tidak membantu kemenangan saya dan untuk itu, saya perlu banyak bersabar seperti aksi separuh akhir semalam," katanya. 

Sementara itu, Chan Yiwen menang mudah ke atas lawannya, Noor Ainaa Amani Ampandi, 11-3, 11-7, 11-4 dalam perseorangan wanita. 

Biarpun kekurangan latihan kerana fokusnya terhadap pembelajaran A-Level sebelum ini, ia tidak menjadi penghalang untuknya menundukkan rakan senegaranya itu tetapi masih menganggap pesaingnya dalam perlawanan akhir itu mempunyai kelebihan tersendiri berikutan bersaiz fizikal yang kecil. 

"Segala pukulan saya menjadi hari ini dan saya memastikan pukulan dilakukan kemas. 

"Walaupun dia merupakan pelapis saya, saya bersyukur dapat mengawal tekanan.

"Dia seorang pemain tangkas dan bertubuh kecil tetapi saya memaksanya untuk bermain di empat penjuru gelanggang bagi membolehkan saya melancarkan serangan," katanya.


 

Advertisement

Must Watch Video