Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Zhiayi masih mencari rentak terbaik di sebalik dua emas

loh-zhia-yi.jpg
Atlet terjun Wilayah Persekutuan, Loh Zhiayi, mengakui saingan dalam acara 3 meter papan anjal individu bukanlah terjunan terbaik yang pernah dipamerkannya, namun ia sudah cukup untuk dia merangkul pingat emas kedua dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Zhiayi mengakui dia masih kurang selesa dengan beberapa teknik yang dicuba ketika bertanding ekoran kekurangan latihan untuk menghadapi Sukma kali ini.

Bagaimanapun, dia tetap cemerlang dengan menyumbang emas kedua peribadi dalam acara 3m papan anjal individu dengan meraih 267.25 mata untuk menamatkan saingan di kedudukan pertama, mengetepikan pesaing dari Selangor, Adeline Chin dan Koh Hui Yan.

Emas pertama Zhiayi pula adalah menerusi 3m papan anjal seirama bersama Ong Ker Ying.

Ia sekali gus menyamai pencapaian peribadinya dalam temasya Sarawak 2016 dengan menggondol dua emas.

"Ini baru permulaan dan saya perlu berlatih lebih gigih lagi untuk meningkatkan persembahan. 

"Sudah lama saya tidak mengikuti latihan, jadi persembahan saya tidak begitu bagus.

"Justeru, saya sedikit kecewa kerana tidak dapat melakukan teknik yang sukar," katanya. 

Secara keseluruhan, Zhiayi masih menjadi tunjang penting untuk negerinya dalam acara terjun dengan Wilayah Persekutuan memperoleh keseluruhan tiga emas daripada 10 acara dipertandingkan, dua daripadanya adalah sumbangan Zhiayi sementara satu lagi sumbangan Hanis Nazirul Jaya Suria dalam acara 1m papan anjal.

"Kalau dalam edisi lalu, saya boleh katakan saya adalah tunjang utama, tetapi saya sudah berehat selama setahun lebih. 

"Saya baru memulakan latihan dan menyertai kejohanan. 

"Saya sudah mempamerkan banyak peningkatan dan ingin mendapatkan semula rentak. 

"Sehubungan itu, dua emas ini menjadi dorongan buat saya," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video