Hari ketiga olahraga Sukan Malaysia (Sukma) Perak menyaksikan kecemerlangan Terengganu dengan mendominasi acara 4x100m lelaki dan perempuan hari ini.
Terengganu yang mempamerkan prestasi menyerlah dalam acara pecut pada edisi kali ini nyata tampil dengan kekuatan tersendiri.
Bagi saingan lelaki, pasukan dari Pantai Timur itu diwakili oleh Saifuldin Rizuan Ariffin, Muhammad Zulfiqar Ismail, Firdaus Zakaria serta Abd Wafiy Roslan.
Meskipun cuba diberikan tentangan hebat oleh Perak serta Sabah, Terengganu menerusi pelari terakhirnya, Abd Wafiy, lebih bertenaga untuk menamatkan saingan hasil catatan 40.21 saat untuk emas.
Tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua selepas mencatat 40.40s, diikuti Sabah ketiga untuk melengkapkan kedudukan podium.
"Saya bersyukur dapat menyumbang emas yang disasarkan.
"Kami sebenarnya menyasarkan gelaran 100m tetapi tidak berhasil, namun akhirnya berjaya dalam 4x100m," kata Zulfiqar.
Acara 4x100m perempuan pula menyaksikan Terengganu gah dengan meraih pingat emas menerusi catatan 47.01s.
Diterajui gandingan Nurul Wardatul Huwaida, Nurul Aiyssa Azman, Siti Norzullaika Ramli di samping ratu pecut Sukma kali ini, Azreen Nabila Alias, Terengganu nyata sukar digugat.
Hasilnya, mereka menamatkan saingan di kedudukan pertama tetapi tidak dapat menggugat rekod kejohanan, iaitu 46.43s, yang dilakukan oleh kuartet Perak, dua tahun lalu.
"Rakan-rakan saling membantu untuk kami mendapatkan pingat. Saya amat berpuas hati," kata Azreen.
Sementara itu, atlet lontar tukul besi Sarawak, Grace Wong, tidak berdepan kesukaran untuk mempertahankan emas acara berkenaan.
Reputasi selaku atlet kebangsaan juga meletakkannya sebagai pilihan utama.
Nyata, balingan 56.51m yang dilakukan Grace sukar ditandingi oleh peserta lain.
Ia sudah memadai buat Grace bagi meraih emas Sukma ketiga berturut-turut di samping catatan terbaiknya musim ini berikutan ketiadaan pertandingan untuk disertai kerana lebih menumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pingat perak dimenangi atlet Selangor, Nurul Hidayah Lukman, menerusi catatan 50.25m.
Gangsa menjadi milik Fatin Nabihah Ibrahim dari Perlis dengan catatan 49.46m.
"Prestasi saya tidak berapa bagus kerana sedang sibuk fokus kepada pelajaran.
"Saya kini berada di Sarawak dan menjalani latihan sebanyak tiga kali seminggu pada sebelah petang selepas habis kelas," kata Grace.
Penulis Jemputan
Wed Sep 19 2018