Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Skuad boling padang NS tarik diri akibat virus beguk

n9_1.jpg
Pasukan boling padang wanita Negeri Sembilan menjadi pasukan kedua menarik diri daripada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 akibat jangkitan virus beguk selepas pasukan futsal wanita dan lelaki Sabah berbuat demikian, awal minggu ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How, berkata sembilan atlet wanita dan dua pegawai telah pulang ke Negeri Sembilan malam tadi untuk tujuan rawatan serta pemulihan.

Katanya, laporan Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesahkan seorang atlet wanita pasukan itu berumur 19 tahun menghidap virus beguk.  

Menurut Howard, wanita itu dikesan mengalami gejala sakit rahang kiri Isnin lalu (10 Sept) dan keputusan sampel ‘buccal mucosa swab’ yang diambil pada Rabu (12 Sept) mendapati atlet itu positif beguk.

“Seramai lapan atlet wanita dan dua pegawai pasukan boling padang wanita Negeri Sembilan terdedah dengan pesakit indeks di mana mereka mempunyai peratusan tinggi untuk berjangkit,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Howard, kes terbaharu membabitkan kontinjen Negeri Sembilan itu tiada kaitan dengan kes melibatkan pasukan futsal wanita Sabah yang disahkan positif sebelum ini.

Katanya, siasatan mendapati atlet boling padang itu mempunyai sejarah kontak (hubungan) pada 26 Ogos lalu dengan adiknya yang menghidap beguk.

Dalam pada itu, Howard berkata pasukan boling padang Negeri Sembilan akan membawa seorang atlet wanita ke sini untuk beraksi dalam acara campuran. 

Beliau berkata berdasarkan apa yang diperoleh, pasukan wanita yang terlibat tidak mempunyai hubungan rapat dengan pasukan boling padang lelaki sama ada semasa latihan atau semasa perjalanan.

“Oleh itu, pasukan boling padang lelaki Negeri Sembilan boleh meneruskan penyertaan mereka dalam pertandingan Sukma,” katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video