Pelari sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi, tidak menolak untuk bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak 17 hingga 24 Ogos depan.

Dia yang masih segar memenangi pingat gangsa 100m lelaki Kejohanan Qosanov Memorial ke-33 di Kazazkstan, minggu lalu, dan perlu menunggu peluang saat akhir untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris berikutan tidak melepasi had kelayakan yang ditetapkan.

Temasya di Paris itu pula akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan dan andai tidak terpilih sekalipun, pelari kelahiran Perak tersebut sedia menyertai Sukma.

"Apa-apa juga keputusan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia), saya akan terima seadanya.

"Kalau berpeluang, sudah tentu saya akan buat yang terbaik, kalau tidak saya akan fokus kepada kejohanan lain, berkemungkinan Sukma.

"Saya tidak akan dapat beraksi dalam kedua-dua (kejohanan kalau saya dapat Sukan Olimpik," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).