Skuad angkat berat Sabah yakin mampu membawa pulang tiga pingat emas seperti yang disasarkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak.
Pengurusnya, Bell Yasoi, berkata sembilan atlet, iaitu dua lelaki dan tujuh wanita, akan membawa cabaran Sabah dalam temasya kali ini.
Advertisement
"Sasaran kami adalah untuk memenangi tiga emas dan saya yakin kami mampu mencapainya.
"Sandaran kami untuk memperoleh pingat emas adalah menerusi tiga atlet wanita, iaitu Elly Cassandra Engelbert (53kg), Marceeta Marylyn Marcus (58kg) dan Caroline Joachim (di atas 90kg).
"Kami juga berharap atlet lain akan mampu mencipta kejutan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Atlet lain yang akan membawa cabaran Sabah ialah Velerick Martin yang akan bertanding bagi kategori 56kg lelaki dan Kevdylan Wong (69kg lelaki) manakala atlet wanita yang lain ialah Nilcy Tunik (48kg), Fendylina Adim (48kg), Sheren Lueh (63kg) dan Kartina Dumin (69kg).
Acara angkat berat akan bermula esok hingga 21 September ini di Dewan Merdeka, Majlis Daerah Tapah di Batang Padang, Perak.