Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Sabah dominasi acara perseorangan lelaki, wanita boling tenpin

boling.jpg
Kem boling tenpin kontinjen Sabah cemerlang menyapu bersih dua pingat emas yang ditawarkan pada hari pertama acara boling di Ampang Superbowl, Ipoh Parade, pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, semalam.

Sabah yang diwakili atlet pelapis kebangsaan, Navern Nataneel Marcellinus, 18, bagi kategori perseorangan lelaki mempamerkan aksi memukau apabila muncul peserta yang melakukan jatuhan pin paling tinggi dengan 1,289 pin sekali gus merangkul pingat emas pertama peribadi dalam Sukma.

Pingat perak diraih atlet Melaka, Muhammad Hasif Alihanafiah yang melakukan 1,274 jatuhan pin manakala gangsa menjadi milik wakil Selangor (1,265).

“Kejayaan meraih emas pada hari ini adalah hasil dari titik peluh saya berlatih siang dan malam dan saya juga tidak menjangka akan memenangi emas pada hari ini.

“Pencapaian ini juga membuktikan bahawa saya mampu untuk peroleh kejayaan dan menutup mulut mereka yang sering ragu-ragu dengan kebolehan yang ada pada diri saya,” katanya kepada Bernama.

Dalam kategori perseorangan wanita pula, Nurul Alyssa Junaidi sekali lagi menceriakan kem Sabah apabila muncul peserta yang melakukan jatuhan pin tertinggi dengan 1,273 jatuhan untuk menyambar pingat emas.

Atlet Sarawak, Gillian Lim Siew Giok pula ketinggalan 15 jatuhan pin untuk berpuas hati dengan pingat perak manakala seorang lagi wakil Sarawak, Nur Hazirah Ramli meraih gangsa dengan 1,246 jatuhan pin.

“Saya sendiri terkejut apabila berjaya meraih emas dalam penampilan pertama Sukma. Mungkin perasaan dan semangat yang tinggi untuk bermain serta mahu memenangi emas membuatkan saya mampu pamerkan prestasi terbaik.

"Persaingan sangat sengit kerana ramai pemain daripada negeri-negeri lain juga bagus dan mungkin nasib menyebelahi saya hari ini," kata penuntut diploma Pengurusan Sukan Universiti Teknologi  Mara (UiTM) , Shah Alam.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video