Skip to main content

Sepak Takraw

Sukma: Pertahan dua emas jadi sasaran Futra

ter_1.jpg
Skuad sepak takraw Terengganu meletakkan sasaran mempertahankan pingat emas acara double dan berpasukan lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Perak yang akan membuka gelanggang, Jumaat ini.

Menurut ketua jurulatihnya, Mohd Futra Abdul Ghani, sasaran itu diyakini mampu dicapai bersandarkan prestasi Terengganu dalam beberapa kejohanan sirkit kebangsaan sepanjang 2018.

Latihan intensif selama sebulan di Bangkok, Thailand, yang baru berakhir juga membantu memperkemaskan pasukannya walaupun hanya lima pemain skuad 2016 dikekalkan manakala tujuh lagi adalah muka baharu.

"Edisi kali ini, sasaran Terengganu masih sama selain mengharapkan emas bonus melalui acara kuadran," kata pemenang pingat emas acara regu Sukan SEA 2005 di Manila itu.

Keyakinan dilaungkan Futra terhadap kemampuan pasukan yang dibentuk sejak penghujung 2016 itu bukan sebarangan, dengan gandingan pengumpan, Fakrulrazi Ismail, Mohd Moslim Ramli (pelibas) serta Che Ku Amirul Arif Che Ku Azmi selaku tekong, menjadi taruhan terbaik.

Dalam saingan dua tahun lalu di Sarawak, selain pingat emas acara double dan berpasukan, Terengganu turut meraih pingat perak menerusi acara regu selepas tumpas kepada Pulau Pinang dalam aksi final.

Walaupun mengakui skuad 2018 tidak sekuat barisan pemain di Sarawak, Futra menyifatkan kerjasama pemain-pemain akan menjadi tunjang kekuatan Terengganu, yang diundi bersama Kedah dan Selangor dalam acara berpasukan.

"Sebagai bekas pemain negara, saya sentiasa membantu mereka kekal fokus dan sentiasa dalam prestasi terbaik.

"Dalam setiap kejohanan disertai kami, bukan pingat perak, bukan pingat gangsa tetapi pingat emas yang menjadi buruan."

Advertisement

Must Watch Video