Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Perak terima tajaan RM12 juta

sukma-2018_1.jpg
Perak menerima tajaan kira-kira RM12 juta daripada 13 syarikat korporat bagi menjayakan Sukan Malaysia (Sukma) 2018 bulan depan. 

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, berkata antara penaja utama adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Al-Ikhlas dan Tan Chong Group.

Katanya, penaja rasmi lain termasuk Sanyu Sdn Bhd, Rizzs Trading Sdn Bhd, Asia Pasific Sports Sdn Bhd, Empayar Indera Sdn Bhd, KL Teh Land & Development Sdn Bhd dan Petronas.

"Turut menaja Sukma kali ini ialah Palace Vacation Club, Oratis RX Sdn Bhd dan GB Kuari," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Wrapup Promosi Sukma Ke-19 Perak, hari ini.

Turut hadir Exco Pembangunan, Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How, dan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing.

Ahmad Faizal berkata beliau berbesar hati menerima tajaan itu dan mengalu-alukan sekiranya ada syarikat swasta lain yang ingin menaja sukan tersebut.

Dalam pada itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Chenderiang itu berkata sebuah tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Gemas ke Padang Besar akan dihiasi dengan gambar serta maklumat mengenai Sukma: Perak ke-19 sebagai promosi sukan itu.

Katanya, kontrak promosi untuk tren yang boleh memuatkan kira-kira 300 penumpang pada satu-satu masa itu adalah untuk selama setahun.

"Promosi ini dilaksanakan bukan hanya untuk Sukma, malah mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Perak untuk melawat destinasi menarik yang terdapat di sekitar negeri ini," katanya.

Menurut Ahmad Faizal, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menyediakan perkhidmatan ETS seawal jam 5 pagi hingga 11.30 malam mempunyai  jumlah pengguna harian seramai 1.3 juta orang pada 2016 dan 1.4 juta orang tahun lalu.

"Perkhidmatan ini memberikan impak positif kepada kerajaan negeri Perak dan juga pengusaha sektor pelancongan di kawasan sekitar secara tidak langsung," katanya.

-- Bernama

Advertisement

Must Watch Video