Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Pencapaian terbaik Sabah

mohammad-amiruddin-adzmi-sukma-silat.jpg
Dengan hanya tinggal sehari sebelum Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak melabuhkan tirainya, kontinjen Sabah sudah boleh berbangga apabila mencatat keputusan terbaik dalam sejarah penyertaan mereka.

Selepas mengumpul 26 pingat emas setakat semalam, Sabah menambah enam lagi hari ini yang menjadikan jumlah kutipan sebanyak 32 pingat emas, sekali gus mengatasi pencapaian terbaik mereka sebelum ini sebanyak 28 emas dalam Sukma 2002 ketika mereka menjadi tuan rumah.

Enam pingat emas yang dikutip hari ini ialah menerusi acara pencak silat, tinju, sepak takraw wanita dan juga hoki.

Mohammad Amiruddin Adzmi memulakan kutipan pingat emas untuk Sabah hari ini apabila memenangi acara Kelas H (80kg-85kg) lelaki dengan menewaskan pesilat Johor, Muhammad Aizat Iqbal Anuar, 5-0.

Selepas itu, Nursyazeera Hidayah Idris pula menceriakan kem pencak silat Sabah apabila memperoleh emas kedua dalam acara Kelas B (50kg-55k) selepas menundukkan pesilat Terengganu, Nurul Ainil Afifah Alias,  4-1 dalam final.

Seorang lagi pesilat, Andi Azura Muluk, kemudian mengutip pingat emas ke-29 bagi kontinjen Sabah selepas memenangi acara Kelas D (60kg-65kg) wanita dengan menewaskan peserta pilihan tuan rumah, Nur Adilah Mohamad Zamri, 3-2 dalam satu aksi final sengit.

Kejayaan memenangi tiga pingat emas hari ini turut melengkapkan sasaran lima pingat emas pasukan silat Sabah dalam temasya Perak 2018 selepas merangkul dua lagi emas sebelum ini menerusi Nurul Hazifah Jederion (Kelas 70kg-75kg wanita) dan Nuratikah Mustafah (jurus tunggal baku individu wanita).

Sementara itu, kem tinju Sabah turut menghadirkan berita gembira buat kontinjen Negeri Di Bawah Bayu apabila memenangi satu pingat emas menerusi Khairul Azzim Nasser yang menewaskan peninju Sarawak, Daeloniel Mcdelon Bong, 5-0 dalam final kategori bantam 56kg lelaki di Dewan Dato Loppe Hashim, Bagan Datuk.

Kontinjen Sabah kemudian menambah dua lagi emas malam ini menerusi acara hoki lelaki dan juga sepak takraw regu kuadran wanita bagi menjadikan jumlah keseluruhan pingat emas sebanyak 32.

Skuad hoki lelaki Sabah menundukkan Pahang 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti dalam final manakala skuad sepak takraw Sabah menundukkan Perak 3-2, juga dalam final acara itu.

Esok merupakan hari terakhir Sukma 2018 dengan beberapa lagi acara dipertandingkan, termasuk bola jaring, berbasikal dan skuasy.

ends/

Advertisement

Must Watch Video