Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Hakimi buru pingat pertama dalam penyertaan ketiga

mohammad-hakimi-mazei.jpg
Bintang muda gimnastik Kelantan, Mohammad Hakimi Mazei, bertekad mencari pingat pertamanya dalam percubaan kali ketiga acara gimnastik berpasukan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak, bermula esok hingga 22 September ini.

Katanya, biarpun mendapat saingan sengit daripada atlet negeri lain yang lebih hebat, dia akan melakukan yang terbaik untuk mencipta kejutan.

"Ini adalah aksi ketiga Sukma saya selepas 2013 (Kuala Lumpur) dan Pahang pada 2014.

"Saya bertekad untuk memburu pingat pertama sebagai hadiah untuk diri sendiri dan juga untuk negeri Kelantan," katanya.

Hakimi, yang juga pelajar pra-universiti SMK Kubang Kerian, berkata latihan intensif yang dilalui selama dua minggu dan pengalaman menyertai perbagai kejohanan menjadikannya lebih yakin dan bersedia.

"Saya mengambil bahagian dalam acara senaman lantai, palang sejajar, melombol, gegelung, kekuda berpelana dan palang tunggal.

"Latihan intensif di bawah jurulatih (Zailani Daud) berjalan lancar dan menambah keyakinan saya untuk cemerlang di Perak," katanya.

Ditanya atlet negeri mana yang sentiasa memberikan cabaran getir, Hakimi yang juga pemenang pingat gangsa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2016 dalam acara palang sejajar memilih atlet Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Tentulah atlet kebangsaan yang mewakili Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur. 

"Mereka adalah kuasa sukan gimnastik negara. Jangan lupa, atlet tuan rumah (Perak) juga dijangka mampu membuat kejutan," katanya.

Hakimi juga tidak lupa mengucapkan terima kasih atas sokongan jurulatih dan rakan sepasukan serta Pengetua SMK Kubang Kerian, Norsilawati Yusof.

"Mereka banyak membantu saya dan menjadi pendorong utama untuk berjaya dalam sukan gimnastik," katanya.

Advertisement

Must Watch Video