Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Dakwaan penginapan uzur disangkal

howard-lee-chuan-how.jpg
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How, menempelak dakwaan bahawa penginapan atlet bagi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 berada dalam keadaan uzur.

Bagi Howard, kerajaan negeri sentiasa memastikan segala prasarana, termasuk penginapan, berada di tahap terbaik buat atlet yang beraksi dalam Sukma yang sedang berlangsung.  

Sebelum ini, beberapa media arus perdana melaporkan terdapat beberapa penginapan atlet berada dalam keadaan uzur.

"Saya berasakan sebahagian besar laporan itu tidak berasas sebab pegawai saya dan jawatankuasa penginapan telah menemu bual atlet yang menginap di sana. 

"Mereka tidak berasakan sebarang masalah, malah ada yang mengatakan selesa," kata Howard ketika merasmikan Perkampungan Sukan Sukma Ke-19 di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, hari ini. 

Namun, beliau tidak menafikan terdapat kontinjen yang memilih untuk menginap di inap desa atau hotel berbanding penginapan rasmi yang disediakan tuan rumah.

Bagaimanapun, mereka bebas memilih sama ada mahu menginap di tempat yang disediakan atau tidak.

"Ada yang memilih untuk menginap di hotel berikutan masalah di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) sebelum ini.

"Jadi, mereka memilih untuk menginap di inap desa.

"Kalau ada kontinjen yang berasakan atlet mereka lebih elit dan luar biasa daripada yang lain, itu terserah kepada mereka," ujar beliau lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video